Taktik terdesak cuba kucar kacirkan parti

255

25 DIS : Perbuatan menggantung kain rentang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur merupakan satu tindakan terdesak yang berniat mahu mengucar-kacirkan parti itu, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan. 

Menurut Shahril, beliau yakin kewujudan kain-kain rentang tersebut adalah perbuatan pihak musuh yang mahu memecah-belahkan solidariti ahli-ahli UMNO dengan menggunakan nama pergerakan Pemuda UMNO.

“Ternyata ada pihak tertentu sudah terdesak sehingga mahu mencari jalan murahan cuba mengucar-kacirkan UMNO namun, Insya-Allah usaha itu akan gagal. Ahli UMNO tidak mudah terpedaya dengan taktik kotor. 

“UMNO akan terus bersemangat bergerak sepasukan dalam soal memperjuang isu rakyat, mahupun dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15)kelak,”katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, tular dalam laman sosial beberapa kain rentang digantung oleh pihak tidak bertanggungjawab yang tertera ayat ‘Pemuda UMNO Mendesak Zahid Berundur Segera’.

Manakala, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Dendera Billah Zamzuri telah membuat laporan polis dan menegaskan ianya tiada kena mengena langsung dengan pergerakan Pemuda UMNO, terutama di bahagiannya.

Menurut beliau, pihaknya tidak sesekali melakukan perbuatan itu dan sentiasa menyokong penuh institusi parti yang kini diterajui Ahmad Zahid secara sah mengikut sisi perlembagaan.

Dia juga telah mengarahkan ahli Pemuda UMNO Shah Alam untuk menurunkan tujuh kain rentang tersebut.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail turut menafikan penglibatan mana-mana Pemuda Bahagian di negeri ini berhubung perkara itu.

“Tindakan ini sengaja dilakukan oleh pihak musuh politik dalam menggugat keharmonian dan cubaan melagakan ahli UMNO. Perbuatan ini amat memalukan dan merupakan satu perbuatan tidak bermaruah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.