PKPD Asrama Westlite Bermula Tengah Malam Ini

223

25 DIS: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Westlite, di Johor Bahru, bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 115 kes positif COVID-19.

“Pelaksanaan PKPD di kawasan Taman Perindustrian Tampoi Jaya, itu akan membabitkan 3116 pekerja yang kesemuanya merupakan warga asing

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula 26 Disember sehingga 8 Januari 2021,” katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Dalam pada itu, berhubung Task Force Operasi Pematuhan, Ismail memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 246 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 236 individu dikompaun manakala 10 orang pula direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk aktiviti pusat hiburan (91),gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (84), tidak memakai pelitup muka(44), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (23) dan lain-lain (34).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dua orang tekong di samping merampas lapan buah kenderaan darat dalam Ops Benteng semalam.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 91,791 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 76 hotel dan 17 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7023 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 535 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 84, 233 individu telah dibenarkan pulang,” jelasnya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.