Guna saluran undang-undang sebagai jalan terakhir

105

25 DIS : Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan menggunakan saluran perundangan untuk menuntut bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang sekiranya negeri itu terus berdegil dan tidak mahu berunding dalam isu tersebut.

Menurutnya, ia merupakan jalan yang terakhir bagi menyelesaikan masalah ini namun beliau terus beharap agar Pulau Pinang bersedia untuk berunding bagi membincangkan isu berkenaan.

“Buat masa ini, kita pilih cara berunding dulu, kerajaan Kedah dengan kerajaan Pulau Pinang, kita sama-sama dalam Malaysia, nak keras setakat mana sangat.

“Tetapi, sekiranya menemui jalan buntu, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks PAS Jerlun di Kampung Lana Bulu, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy yang menyatakan pendirian tidak mahu membayar walaupun satu sen kepada kerajaan negeri Kedah.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy dalam kenyataannya semalam, berkata kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen kepada Kedah untuk mengambil air dari Sungai Muda.

Ramasamy dilaporkan berkata, tidak ada tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan dan tidak akan ada rundingan atau perbincangan dengan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang maklum balas dibuat oleh perbadanan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.