Trump ampun pelaku rasuah, penyembelih rakyat Iraq

150

24 DIS: Banyak pihak mengecam dan marah dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi keampunan kepada ahli kongres Republikan yang korup dan pengawal keselamatan yang membunuh 14 orang awam dalam tragedi di Baghdad pada 2007.

Memetik laporan AFP, tindakan Trump itu dikatakan sebagai membalas sokongan padu yang diberikan terhadapnya.

Rakyat Iraq marah dan kecewa apabila Trump memberi pengampunan kepada empat orang kontraktor syarikat keselamatan Blackwater yang disabitkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Medan Nisur.

Mereka menembak orang awam dan menyebabkan sekurang-kurangnya 14 mangsa terbunuh.

Kerajaan Iraq menjelaskan, seramai 17 mangsa terbunuh manakala berpuluh lagi cedera.

Pentadbiran AS terdahulu di bawah Barack Obama dilihat enggan campur tangan dalam kes tersebut.

Pemilik Blackwater, Erik Prince adalah penyokong kuat Trump dan abang Setiausaha Pendidikan AS, Betsy DeVos.

Trump yang hanya diberi mandat sebagai Presiden AS selama sepenggal turut memberi pengampunan kepada dua lelaki yang terlibat dalam isu pilihan raya Rusia dan tiga bekas ahli kongres yang didakwa paling korup dalam sejarah negara itu.

Mereka dikatakan penyokong kuat Trump.

“Mesej yang diberikan Trump pada malam ini adalah jelas, bagaimana buruknya jenayah yang dilakukan, keadilan tidak berlaku sekiranya anda setia dengannya,” kata Citizens for Responsibility and Ethics in Washington.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.