Tekanan angin tayar rendah punca kebakaran Monorel

122

24 DIS: Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan hari ini berkata, tekanan angin tayar yang rendah merupakan punca utama berlakunya kebakaran Monorel di Stesen Titiwangsa pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, salah satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh tren empat gerabak itu kemudiannya meletup dan terbakar mengakibatkan perkhidmatan monorel Rapid KL tergendala ekoran kejadian tersebut.

“Bagaimanapun tiada penumpang yang mengalami kecederaan dan semua penumpang telah diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum kebakaran itu berlaku kira-kira 7.15 pagi ini.

”Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba pada jam 7.25 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.56 pagi,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, perkhidmatan tren ulang-alik (alternate train shuttle service) diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuah.

Perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambathan dan Maharajalela.

“Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku dan semua penumpang yang terjejas boleh mengambil kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel KL,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan perkhidmatan monorel di Stesen Monorel Maharajalela, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur tergendala selepas dua buah gerabak monorel terbakar, pagi tadi.

Berikutan itu, sepasukan 21 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.27 pagi.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Iqbal Zakaria, berkata kebakaran itu membabitkan kepala monorel dan satu gerabak penumpang yang menghala ke KL Sentral.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.