Tambah baik Feri Pulau Pinang demi kebaikan semua

87

24 DIS: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah membuat keputusan bagi memodenkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau hari ini sekali lagi memberi penerangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf feri sedia ada.

Beliau memberitahu Chow, bahawa kerajaan dalam usaha ini telah mengambil kira keselamatan, keberlanjutan atau daya tahan dan keselamatan penumpang feri bagi memastikan perkhidmatan ini akan terus dinikmati oleh rakyat tempatan termasuk pelancong. 

Menurut beliau, kedua-dua mereka telah mengulangi apa yang telah dipersetujui pada mesyuarat bertarikah 27 Ogos lalu di bangunan Parlimen dan mengharapkan perkara ini dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak.

“Seperti yang dijelaskan dalam kenyataan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pada 15 Disember 2020 berhubung perancangan masa depan perkhidmatan feri Pulau Pinang, fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula dari 1 Januari 2021. 

“Dan diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal), yang akan beroperasi mulai tahun 2022,”katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, perkara ini dapat dilaksanakan susulan pengumuman Menteri Kewangan, Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dalam Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 berhubung sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pemodenan perkhidmatan ini, yang akan disalurkan melalui dua bayaran pada tahun 2021 dan 2022. 

Namun, beliau menjangkakan lebih ramai pengguna kenderaan motor akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan lebih murah berbanding feri.

“Sebagai langkah sementara, PPSB akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh ini. 

“PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk 2 minggu mulai 1 Januari 2021,” katanya. 

Sementara itu, bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang, Ka Siong berkata pihaknya akan mempertimbangkan idea sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa pihak bagi menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium, atau pelayaran pelancongan yang dapat memperingati sumbangan feri-feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini. 

” Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan pulau di negeri ini sejak 126 tahun lalu merupakan perkhidmatan feri paling bersejarah dalam negara. 

“Oleh yang demikian, tidak dinafikan perkhidmatan feri ini membawa nilai sejarah dan warisan yang sangat bermakna kepada Malaysia,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.