Pemuda UMNO kumpul maklum balas i-Sinar, moratorium

55

24 DIS: Pergerakan Pemuda UMNO turut membantu mengumpulkan maklum balas dan aduan orang ramai berhubung pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium menerusi talian hotline yang dibuka sejak 14 Disember lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga hari ini, ribuan aduan sedang dikumpulkan oleh kakitangan pejabat Pemuda UMNO Malaysia yang bertungkus-lumus merekodkan setiap permasalahan berkaitan dua perkara tersebut.

“InsyaAllah, Pemuda UMNO tidak akan pernah mendiamkan diri selagi kedua-dua isu terutamanya Kategori 2 i-Sinar yang masih punya pelbagai kriteria yang mengekang rakyat dimansuhkan sepenuhnya.

“Begitu juga dalam isu moratorium yang banyak aduan menjurus kepada pelbagai karenah bank-bank tempatan yang bukan sahaja menyusahkan bahkan membebankan rakyat yang memohon dilanjutkan moratorium akibat kesusahan yang nyata,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Pada 3 Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, memberi jaminan tetap akan mempertimbangkan setiap pemohonan kemudahan i-Sinar di bawah kategori kedua.

Beliau berkata, ahli-ahli yang terjejas dari segi kewangan tetapi tidak layak membuat permohonan untuk i-Sinar di bawah kategori pertama, boleh memohon untuk kemudahan itu bawah kategori kedua.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 26 November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, golongan B40 diberi lanjutan moratorium secara automatik tahun depan manakala golongan M40 pula hanya perlu membuat pengisytiharan sekiranya mahu tempoh moratorium dilanjutkan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.