Pangkalan data penerima bantuan MAIWP akan diwujudkan

78

24 DIS : Persidangan Meja Bulat yang membincangkan soal kemiskinan bandar anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju untuk membangunkan satu pangkalan data penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua agensi berkaitan.

Pembangunan pangkalan data itu merupakan antara salah satu daripada tujuh resolusi yang diluluskan dalam persidangan meja bulat MAIWP yang diadakan hari ini.

Pengerusi Persidangan Meja Bulat merangkap Ahli MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, antara resolusi lain ialah mengkaji semula kemiskinan daripada pelbagai dimensi, yang mana tahap kemiskinan diukur berdasarkan jumlah pendapatan keluarga yang ditolak jumlah kadar kecukupan sara hidup keluarga tersebut dalam sebulan.

“Resolusi tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kemiskinan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal tahun depan.

“MAIWP mengambil inisiatif mengadakan perbincangan meja bulat itu susulan  laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk ‘Families On The Edge’ yang menyentuh mengenai keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat krisis COVID-19,” ujarnya.

Laporan UNICEF itu berdasarkan satu kajian mengenai impak COVID-19 kepada keluarga berpendapatan rendah yang mengambil sampel daripada 530 keluarga yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) di ibu kota.

Agensi lain yang turut serta dalam persidangan itu ialah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelaras dan Pelaksanaan (ICU), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Abdul Aziz menjelaskan, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan juga akan dirumus bagi menyelaraskan pengagihan bantuan, membangunkan kawasan sekitar masjid yang bersesuaian berkonsepkan Bandar Islamik dan meningkatkan hasil pencapaian berkualiti dan berkekalan melalui pendekatan yang fokus kepada individu.

“Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan, tumpuan akan diberikan kepada aspek keusahawanan, pendidikan dan latihan serta mengenal pasti punca utama kemiskinan dan menggunakan dasar wakaf dalam membasmi kemiskinan mengikut Maqasid Syariah,” jelasnya.

Katanya lagi, adalah penting untuk menilai semula tahap dan mengenal pasti punca kemiskinan dengan lebih kerap susulan perubahan situasi terutama selepas negara dilanda COVID-19.

Program ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri yang menyaksikan beberapa resolusi persidangan dibentangkan untuk tindakan selanjutnya.

Turut hadir di majlis perasmian adalah Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien AlHabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Akbar bin Haji Samon.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.