Gagal saring pekerja asing, majikan berdepan hukuman

89

24 DIS: Tindakan undang-undang dan penalti akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang enggan memberi kerjasama dalam mematuhi arahan kerajaan agar semua pekerja warga asing mesti menjalani ujian saringan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu telah dikeluarkan pada 1 Disember lalu dan kos ujian saringan perlu ditanggung oleh majikan.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan seramai 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 1,990 majikan setakat ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAL SABRI YAAKOB

“Walaubagaimanapun, KSM memaklumkan masih terdapat ramai majikan yang enggan memberi kerjasama untuk mematuhi arahan ini.

“Sehubungan itu, sidang khas semalam bersetuju untuk menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari 2021 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail turut mengingatkan, kerajaan sedang mempergiatkan pemeriksaan terhadap kediaman pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Beliau menambah, sehingga kini sebanyak 12 syarikat dan 27 pertuduhan telah dikenakan ke atas majikan yang ingkar.

“Sidang khas turut bersetuju untuk mewajibkan majikan menanggung kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga asing yang positif COVID-19 yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sidang khas semalam telah bersetuju untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa kecuali United Kingdom bagi institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat.

Menurut beliau, kebenaran itu melibatkan Pusat Bahasa, Pusat Kemahiran, Pusat Latihan, Pusat Tuisyen dan Pusat Perkembangan Minda yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

“Kemasukan pelajar ini akan diuruskan oleh pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) dan perlu mengikuti garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa,” katanya.

Kebenaran yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 itu hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang telah diluluskan permohonan dan telah mendapat visa dari Jabatan Imigresen Malaysia.

Pelajar perlu melakukan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan manakala kos ujian calitan COVID-19 dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.