Covid-19 : Kes positif kini cecah 100,000

52

24 DIS : Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,581 kes, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 100,318 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 18,773 kes.  

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan menjelaskan, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,579 kes.

Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal sebagai negeri yang melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes hari ini.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 379 kes dan Sabah sebanyak 249 kes.

“Sebanyak 270 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan , Kluster Tembok Gajah, Kluster GK Tawau, Kluster Tembok dan Kluster Bakti,” jelasnya.

Sehingga kini katanya, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh pada hari ini sebanyak 1,085 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 81,099 kes.

“Dukacita juga dimaklumkan, terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 di Sabah pada hari ini, melibatkan seorang perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 61 tahun, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 446 kes,”ujarnya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.