Anwar ditipu pemimpin PH, bukan UMNO

1,206

24 DIS: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini membidas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mendakwa UMNO menipu dan mempermainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan hakikatnya, Anwar dipermainkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

Justeru tegasnya, tidak timbul sama sekali soal UMNO menipu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Presiden PKR itu gagal merampas kuasa daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-9 seperti yang didakwa oleh Khalid itu.

”UMNO tidak pernah bersetuju untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri mahu pun bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP untuk membentuk kerajaan baharu,” tegasnya.

Sebaliknya kata beliau, apa yang beliau tahu Anwar gagal menjadi Perdana Menteri kerana beliau ditipu oleh beberapa pemimpin tertinggi di dalam PH sendiri.

“Kalau dia (Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad) mengatakan kita menipu Datuk Seri Anwar, memang dia silap kerana UMNO adalah parti berlainan dan tidak termasuk dalam gabungan PH.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan khabar angin dan ura-ura kata ada Ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar, namun apabila sampai masanya menyatakan sokongan, saya tengok tiada sesiapapun yang berbuat demikian.

“Jadi, sekarang siapa tipu siapa? Setahu saya, orang UMNO sememangnya menolak Datuk Seri Anwar dan DAP kerana parti sudah buat keputusan ‘No DAP dan No Anwar’,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam kononnya Anwar gagal merampas kuasa dan menjadi Perdana Menteri kerana ditipu oleh UMNO dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, semua ahli Parlimen UMNO dan BN sebulat suara memberi sokongan dalam bentuk hitam putih untuk menyokong kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Katanya lagi, semua Ahli Parlimen UMNO juga menghormati keluhuran proses undang-undang di mana ramai di kalangan pemimpinnya kini menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di pelbagai peringkat perbicaraan di mahkamah di seluruh negara.

“Bagaimanapun, perlu diingat, bukan hanya orang UMNO, malah pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya sendiri, Lim Guan Eng dan seorang bekas EXCO Perak turut tidak terkecuali dibicarakan di mahkamah.

“Ini semua soal keluhuran undang-undang yang akan berjalan macam biasa dan tiada kena mengena dengan kes pendakwaan yang sedang dibicara di mahkamah sekarang,” jelasnya.

Terdahulu, Annuar mengesahkan status quo bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya sehingga proses rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan nanti.

Sebelum ini media melaporkan Tengku Adnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, 70, ketika dihubungi berkata, notis rayuan itu difailkan dua hari lalu menerusi sistem kehakiman dalam talian.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pula berkata, keputusan sama ada pihak pendakwaan memfailkan rayuan atau tidak akan dibuat oleh Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah terhadap Ahli Parlimen Putrajaya terbabit.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.- Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.