Aktiviti pusat hiburan karaoke masih tidak dibenarkan

200

24 DIS : Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan setakat ini kerajaan masih belum membenarkan sebarang aktiviti di pusat hiburan karaoke di seluruh negara.

Menurut beliau, aktiviti yang dibenarkan hanyalah karaoke keluarga dan hanya di kawasan zon hijau yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

“Sebagai contoh, jika ada majlis kenduri kahwin yang mahu adakan karaoke, kalau begitu kita benarkan. Bagaimanapun yang berbentuk hiburan, kelab malam, ia masih dilarang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Justeru, katanya lagi, aktiviti karaoke berbilik seperti mana yang dibenarkan untuk beroperasi di Sarawak, masih berada dalam senarai aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, apa yang diumumkan berkenaan aktiviti karaoke yang dibenarkan di Sarawak, itu diluar pengetahuan kita dan insyaAllah saya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara itu,” ujarnya.

Selasa lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan kebenaran untuk premis karaoke berbilik di kompleks beli-belah di negeri itu, beroperasi bermula semalam.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata, kebenaran itu bagaimanapun tidak termasuk KTV Karaoke, kelab malam, pub dan bistro.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.