Agong,Permaisuri nasihati rakyat patuh SOP sambut perayaan

89

24 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada, berdisiplin menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan hari Krismas, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar perayaan itu membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.

“Seri Paduka berdua bertitah agar rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan ini seperti kelaziman ekoran daripada penularan wabak COVID-19.

“Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, Seri Paduka berdua bertitah rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021, dan bertitah supaya seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang bersama mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.

Al-Sultan Abdullah juga akan menyambut tahun baharu 2021 di Istana Negara kerana dinasihati menjalani kuarantin diri seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan SOP ditetapkan oleh kerajaan, Seri Paduka akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik sahaja mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah kini berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena lawatan khas selama lima hari dan dijadual berangkat pulang ke tanah air esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.