Struktur binaan langgar undang-undang tetap diroboh

479

23 DIS : Kerajaan negeri Kedah tidak dapat memberi jaminan untuk tidak merobohkan struktur bangunan termasuk rumah ibadat yang dibina bukan atas milik persendirian dan yang melanggar undang-undang yang sedia ada, demikian tegas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, bagaimana seorang Menteri Besar atau kerajaan negeri boleh memberikan jaminan untuk tidak merobohkan sebarang struktur bangunan yang jelas bertentangan dengan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya sebagai seorang Menteri Besar tidak boleh beri jaminan untuk tidak merobohkan jika ia dibina atas tanah orang lain, atau dibina di padang permainan kanak-kanak atau, dibina di jalan yang menghalang lalu lintas, atau tempat-tempat lain yang jelas melanggar akta undang-undang di negeri ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Hindu yang meminta jaminan Menteri Besar bahawa tidak akan ada lagi kuil dirobohkan di negeri itu.

Tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu pada Disember lalu telah dijadikan isu oleh pihak tertentu dan menarik perhatian ramai pihak.

Ekoran itu, sebuah gabungan badan bukan kerajaan Hindu Isnini lalu dilaporkan menggesa Menteri Besar Kedah itu memberi jaminan tiada lagi kuil dirobohkan di Kedah sebaliknya dipindahkan jika perlu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.