PKPD Pusat Pemulihan Akhlak Muar mula esok

129

23 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor mulai esok hingga 6 Januari depan.

Untuk makluman, PPA Muar dijadikan Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak bulan lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan orang kena tuduh (OKT) adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif dijalankan dalam kalangan OKT dan kakitangan yang melibatkan seramai 773 tahanan dan 127 kakitangan.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.

Dalam berkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di kawasan Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang yang bermula pada 7 Disember lalu, tamat hari ini iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Disember ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat satu lokaliti di Persiaran Paya Terubong, Relau iaitu Kondo Sierra East yang penghuninya telah disaring secara keseluruhan dan tiada kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan juga mendapati majoriti penduduk kondo ini tidak ada kaitan dengan kluster-kluster yang dilaporkan,” katanya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 230 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (76), aktiviti pusat hiburan (71), tidak memakai pelitup muka (41), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (37) dan lain-lain (5),” katanya.

Selain itu, dalam Op Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 33 pendatang asing tanpa izin dan lima buah kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.