Pembelian 21.7 juta dos vaksin dalam fasa akhir

52

23 DIS: Kerajaan sedang dalam fasa akhir perolehan untuk mendapatkan lagi 21.7 juta dos vaksin, yang merangkumi 42.8 peratus populasi rakyat di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perjanjian itu membabitkan syarikat farmaseutikal Sinovac, CanSinoBIO dari China dan The Gamaleya Institute dari Rusia.

Khairy berkata, kerajaan amat berminat dengan kerjasama dengan Sinovac kerana ia membabitkan usahasama dengan pengeluar syarikat syarikat farmaseutikal tempatan untuk proses pembangunan pembotolan vaksin berkenaan di Malaysia.

khairy
KHAIRY JAMALUDDIN

“Kita tambah lagi (perolehan dos) untuk 42.8 peratus populasi negara, yang kita perolehi melalui tiga syarikat ini.

“14 juta dos dari Sinovac (ini) cukup untuk tujuh juta rakyat Malaysia bersamaan 22 peratus populasi.

“Kerajaan juga sedang mendapatkan 3.5 juta dos dari CanSinoBIO, vaksin ini menarik kerana hanya satu dos bukan dua (bersamaan 10.9 peratus populasi).

“Kerajaan sedang mendapatkan 4.2 juta dos dari Sputnik V , ini adalah dua dos vaksin (merujuk kepada keperluan lagi 3.2 juta orang atau 10 peratus populasi rakyat Malaysia),” katanya dalam sidang media di Kementerian Sains dan Teknologi, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, jumlah keseluruhan liputan vaksin yang dalam proses perolehan sekarang adalah 82.8 peratus, iaitu bersamaan 26.5 juta rakyat di negara ini

Khairy berkata, kerajaan setakat ini memberi komitmen perbelanjaan kerajaan RM2.05 bilion, dan ini adalah untuk keseluruhan perjanjian COVAX, Pfizer, AstraZeneca dan juga tiga syarikat yang lain.

“Peruntukan RM3 bilion dimohon dalam Belanjawan 2021 untuk perolehan vaksin berkenaan bukan untuk syarikat farmaseutikal, Pfizer sahaja. Jumlah RM3 bilion itu adalah anggaran apabila saya dapat daripada Menteri Kewangan sebelum ini,” katanya.

Menjelaskan mengenai kelewatan Malaysia menandatangani penjanjian dengan syarikat farmaseutikal bagi memperolehi vaksin COVID-19 lebih awal, Khairy berkata, keadaan itu berlaku kerana poket kerajaan Malaysia tidak setebal negara maju untuk berbuat demikian.

Khairy berkata, keadaan itu berbeza dengan negara maju seperti Singapura yang sudah memperoleh bekalan vaksin, berikutan negara berkenaan menjalankan rundingan dengan syarikat farmaseutikal gergasi, Pfizer, lebih awal daripada Malaysia.

“Malaysia juga mendapatkan bekalan vaksin daripada pelbagai syarikat mengambil kira syarikat yang boleh menghantar vaksin paling awal dan harga yang berpatutan.

“Kanada misalnya membuat perolehan vaksin COVID-19 lima kali ganda untuk populasinya. Tambahan pula, tidak ada mana-mana syarikat yang boleh menjual 100 peratus keperluan Malaysia.

“Ini kerana negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Singapura mempunyai banyak duit untuk membeli lebih awal kerana mempunyai bajet yang lebih baik berbanding kita,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.