Lelaki zalimi kera didenda RM9,000

211

23 DIS : Seorang lelaki yang berbuat zalim kepada seekor kera dengan menembak dan menyembur cat ke arah haiwan tersebut didenda sebanyak RM9,000 oleh mahkamah Seksyen di sini hari ini

Hakim Mahkamah Seksyen Kuantan, Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Rozaman Ismail selepas lelaki itu mengaku bersalah menzalimi haiwan berkenaan.

Rozaman didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 petang, 17 April lalu di sebuah rumah di Kempadang Utama, Astaka Village di sini dituduh mengikut Seksyen 86(1)(f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rozaman yang bekerja sendiri memohon hukuman denda ringan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan dua anak.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ahmad Ikhwan Zainuddin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada dirinya sendiri dan masyarakat.

“Memang tidak dinafikan kehadiran hidupan liar seperti kera mengganggu ketenteraman awam, namun tindakan yang dibuat oleh individu tersebut dengan  menzalimi haiwan yang sudah berada di dalam perangkap tidak betul,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, OKS merupakan individu dalam klip video yang tular pada April lalu, memaparkan seorang lelaki menembak seekor kera menggunakan senapang tiruan selain menyembur cat pada haiwan berkenaan yang termasuk ke dalam perangkap Perhilitan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.