KKM kesan mutasi baharu virus Covid-19 di Sabah

216

23 DIS : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa virus Covid-19 sentiasa bermutasi, namun apa yang penting ialah sama ada impaknya kepada kesihatan dari segi kebolehjangkitan virus tersebut lebih besar atau tidak.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau perkembangan mutasi virus Covid-19 yang dikesan untuk mengetahui sejauh mana kesan mutasi tersebut kepada kesihatan manusia.

“Hasil ujian daripada 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu kita mendapati terdapat juga mutasi A701V, yang pernah dikesan di Afrika Selatan, Australia dan Belanda.

“Implikasi kepada mutasi ini sama ada ia akan menyebabkan keberkesanan vaksin dan kedua, kebolehjangkitannya meningkat dan dari sudut keganasan virus tersebut.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti mutasi tersebut namun kita masih memantau impak pada populasinya.

“Bagaimanapun, kita belum dapat pastikan impak kesihatannya, sama ada mutasi A701V ini memiliki kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ganas seperti D614G melalui kluster Sivagangga di Kedah Ogos lalu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

KKM akan terus memantau kesan mutasi baharu A701V ini, dari segi sama ada ia memiliki kesan pada keberkesanan vaksin, kadar kebolehjangkitan meningkat dan keganasan virus ini, ujarnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.