Kajian terperinci naik gaji anggota, pegawai polis

575

23 DIS: Kerajaan sedang melaksanakan kajian terperinci bagi menaikkan kadar gaji anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejajar dengan tugas mereka yang sentiasa menjaga keselamatan serta ketenteraman awam negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, perkara itu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan kenaikan gaji anggota PDRM akan lebih menyeluruh meliputi skim perkhidmatan dan mengambil kira keharmonian dalam perkhidmatan awam Malaysia.

“Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa menambah baik pemberian elauan kepada pegawai dan anggota PDRM. Antara penambahbaikan adalah kenaikan kadar imbuhan tetap, perumahan kepada PDRM yang melibatkan peningkatan berjumlah RM20 sehingga RM145 sebulan berdasarkan gred pegawai dan anggota PDRM.

“Kerajaan juga telah meluluskan pembayaran insentif mengikut lokasi tahap kesusahan berjumlah RM500 sehingga RM1,500 sebulan berdasarkan kategori pendalaman kepada anggota dan pegawai yang bertugas di kawasan pendalaman. Kerajaan sentiasa komited dalam meneliti, menyemak semula kadar gaji kepada anggota keselamatan bagi memastikan kebajikan mereka terbela,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

ISMAIL MOHAMED SAID
ISMAIL MOHAMED SAID

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Kamarudin Abdun tenteng jaminan Kementerian untuk menaikkan kadar gaji anggota PDRM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Dalam pada itu, menjawab perkembangan berkaitan mengenai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menjaga kebajikan anggota polis khususnya yang berkhidmat di bandar besar dan juga juga kenderaan buat Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan, Ismail memberitahu, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan.

Menurut beliau, sebanyak RM67.52 juta tambahan peruntukan tahun ini diberikan bagi menambah baik infrastruktur pejabat dan kuartes PDRM manakala bagi kebajikan yang lain, pihaknya mempunyai Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara yang dapat membantu meringankan beban keluarga PDRM jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kalau berlaku kematian atau berlaku kemalangan, maka itu akan beri imbuhan sejajar dengan keadaan anggota tersebut termasuk juga kita ada Tabung Amanah Warisan bagi pesara dan tanggungan pesara yang melibatkan sama ada khairat kematian, bantuan pergerakan, bantuan perubatan pesakit terlantar, bantuan pendidikan dan bantuan bencana alam.

“Mengenai kenderaan dari semasa ke semasa kita akan tingkatkan keupayaan kekuatan PDRM termasuk baru-baru ini kita telah serahkan MPV yang baharu, Honda Civic, kita tengok gah di jalan raya bagi peronda-peronda di jalan raya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.