Jangan buat spekulasi,ulasan tanpa bukti kukuh

77

23 DIS : Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh meminta semua pihak agar tidak memberikan sebarang ulasan dan pandangan berhubung isu daging seludup yang boleh menjejaskan kredibiliti kes.

Menurut beliau, perbuatan itu secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.

“Saya ingin menegaskan bahawa kes ini masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Justeru, semua pihak dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes.

“Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir/loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan JAKIM.

“Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Pengimport perlu mengemukakan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport, kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Dimohon semua pihak untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.