Industri sawit sahaja bayar cukai durian runtuh

122

23 DIS: Kementerian Kewangan tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai durian runtuh dan levi keuntungan luar biasa kepada syarikat Top Glove dan syarikat lain yang mendapat keuntungan tinggi ketika musim pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, cukai tersebut buat masa ini hanya dikenakan kepada komuniti minyak kelapa sawit berdasarkan harga pasaran minyak buah itu secara bulanan yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurut beliau, levi keuntungan luar biasa juga jika dilaksanakan sebarangan akan memberi persepsi negatif kepada negara di mana beranggapan kerajaan mengambil kesempatan atas keuntungan tambahan yang dijana oleh syarikat berikutan krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia.

“Levi keuntungan luar biasa belum pernah digunakan kepada barangan siap guna atau barangan pengilang tempatan seperti sarung tangan getah kerana adalah sukar untuk menentukan harga pasaran yang seragam memandangkan produk sarung tangan getah mempunyai standard, aplikasi, spesifikasi serta gred yang berbeza-beza mengikut negara pasaran.

“Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk mengenakan levi keuntungan luar biasa ke atas syarikat pembuat sarung tangan getah yang menikmati keuntungan tambahan berikutan lonjakan permintaan dan harga jualan sarung tangan getah di seluruh dunia susulan penularan COIVD-19 mahupun lain-lain perniagaan yang menjana keuntungan berganda semasa krisis kesihatan melanda dunia,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramaniam yang bertanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan cukai durian runtuh terutama kepada syarikat korporat yang mengalami keuntungan luar biasa dalam musim pandemik ini seperti Top Glove dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Subramaniam tentang jika menjadi keperluan kerajaan mengambil pandangan pihak luar dalam menentukan cukai di negara ini, Mohd Shahar memberitahu, kerajaan tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa dalam memperkenalkan cukai-cukai baharu.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa melakukan kajian terlebih dahulu atas apa-apa cukai mahu dilaksanakan dan paling utama yang menjadi perhatian kerajaan jika ia memberi kesan ekonomi kepada negara di samping keadaan krisis kesihatan yang masih tinggi di negara ini.

“Kita akan melihat ia akan melakukan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat dan kita sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan melakukan apa-apa dasar cukai baharu yang tidak akan membebankan rakyat. Kita juga akan melihat adakah perenalan cukai-cukai baharu ini juga memberi kesan kepada kebaikan rakyat.

“Kita juga memperkenalkan dasar cukai-cukai baharu ini bagi membanteras dan mengurangkan ketirisan hasil negara dan juga akan membanteras ekonomi gelap dan sudah pasti kita mahu cukai-cukai ini mesti mudah ditadbir dan tidak akan tigkatkan kos perniagaan serta daapt menguatkan dan memperkukuhkan fiskal negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.