Dividen ASB 4.25 sen seunit, pemberian ehsan 0.75 sen

3,770

23 DIS: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen bagi setiap unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 2020.

Pembayaran tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4.25 sen seunit.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam sidang media secara maya melalui laman Facebook rasmi perbadanan tersebut sebentar tadi.

Beliau menambah, sempena sambutan ulang tahun ke-30 PNB, pemberian ehsan 0.75 sen seunit turut diberikan bagi 30,000 unit pertama ASB.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan.

Unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021.

Urus niaga ASB telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember 2020 hingga 3 Januari 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana pejabat cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari 2021. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.