Dewan Negara lulus Belanjawan 2021

102

23 DIS: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah dalam sidang hari ini.

Belanjawan 2021 dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Negara dan digulung oleh setiap kementerian selama lima hari selepas dibentangkan pada 16 Disember lalu.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 yang julung-julung kali dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui undi belah bahagi selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu dalam penggulungannya, Mohd Shahar memberitahu, keputusan kerajaan tidak meneruskan pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang cuma membabitkan sumber pembiayaan dan bukannya pembatalan projek.

Beliau berkata, isu jaminan pinjaman daripada ADB tidak berbangkit kerana perkara ini belum dibentangkan untuk kelulusan Kabinet.

Mohd Shahar berkata, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 18 Julai 2019 telah mengeluarkan surat tiada halangan kepada ADB melaksanakan ketekunan wajar, namun kebenaran itu tidak memberi apa-apa obligasi di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa, selain tidak boleh ditafsir sebagai perjanjian yang mengikat kerajaan.

“Pada 19 Julai 2019, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak boleh membuat pinjaman yang melibatkan jaminan kerajaan tanpa dapat kelulusan kerajaan Persekutuan terlebih dahulu bagi mengelakkan beban hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan.

“Justeru, isu pinjaman dari ADB tidak berbangkit kerana belum dibentang untuk kelulusan jemaah menteri kerana pihak kementerian kewangan tidak menerima laporan due diligence dari ADB yang semua pinjaman multi lateral perlu dipohon di bawah perbelanjaan pembangunan sekiranya kerajaan setuju dengan sumber pinjaman ADB yang peruntukan perlu disediakan bagi penilitian lanjut Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying dalam perbahasannya mempersoalkan tindakan kerajaan yang menarik balik jaminan pinjaman kerajaan Pulau Pinang terhadap projek LRT di negeri tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.