Tak benar kartel daging operasi selama 40 tahun

493

22 DIS : Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menafikan bahawa sindiket daging halal palsu telah beroperasi lebih 40 tahun di negara ini sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak benar kerana kementerian sentiasa memantau perkara ini dan tidak pernah berkrompomi dengan sebarang laporan berhubung perkara tersebut.

“Orang ramai jangan risau tentang isu ini kerana kita telah membuat pemantauan dan telah mengenal pasti syarikat kartel yang disyaki terlibat dalam isu daging halal palsu ini.

”Setakat ini, kita telah buat 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit, kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2020 serta Kempen Membeli Barangan Malaysia di Publika Solaris hari ini.

Tambah beliau lagi, pihak kementerian akan mendedahkan nama syarikat tersebut kepada umum setelah selesai penyiasatan di jalankan.

“Kita akan dedahkan nama syarikat yang terlibat dalam masa yang terdekat dan buat masa ini, kita tidak mahu ganggu siasatan yang sedang berjalan,”

“Pihak kita sudah mengenal pasti syarikat kartel yang disyaki melakukan label halal palsu, bagaimanapun atas nasihat Timbalan Pendakwa Raya, kementerian terpaksa mengunci mulut sehingga pendakwaan selesai dilakukan dalam masa terdekat ini,”ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berikrar tidak teragak-agak menggantung pemberian permit import syarikat (AP) yang terbabit dengan kartel daging halal palsu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.