Program basmi kemiskinan mutlak keutamaan kerajaan

133

22 DIS: Pelbagai program dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menurunkan kadar kemiskinan mutlak dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak, tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah B40.

Beliau berkata antara usaha dilakukan kerajaan adalah pertama dengan menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan mendapatkan pekerjaan berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dan Program Peningkatan Pendapatan.

ARTHUR JOSEPH KURUP
ARTHUR JOSEPH KURUP

“Kedua, bagi menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan. Bagi perumahan sebagai contoh kita ada Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Bantuan Rumah (PBR) dan projek perumahan mampu milik.

“Ketiga, untuk menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pinjaman mikro seperti menerusi Tekun Nasional dan program latihan keusahawanan.

“Keempat dengan meningkatkan sistem pelindungan sosial dengan mewujudkan satu rangka kerja sosial bersepadu dan komprehensif termasuk Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Nuing Jeluing minta Perdana Menteri menyatakan kesan penyusunan semula pendapatan garis kemiskinan kepada RM2,208 sebulan setiap isi rumah.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, kerajaan sedang menggubal dasar dan strategi bagi menangani masalah kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada tahun depan.

“Usaha menangani kemiskinan dan mempelbagaikan pendapatan akan dipergiatkan dan dipertingkatkan lagi khususnya bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Dalam mengupayakan anak negeri Sabah dan Bumiputer Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di pedalaman, kita akan memberikan penekanan lebih kepada pendidikan kemahiran dan keusahawanan.

“Antara inisiatif sedang dijalankan adalah untuk meningkatakan taraf hidup mereka termasuk mempertingkatkan pengambilan pelajar berpotensi untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi, institusi latihan, memupuk budaya keusahawanan berasaskan kemahiran dan bakat bersekali dengan bantuan pembiayaan, pemarasan produk dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam memperkukuhkan hak adat, Arthur berkata, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM41 juta menerusi Belanjawan 2021 bagi melaksanakan program khas anak negeri Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan latihan modal insan program keusahawanan dan ekonomi serta pembinaan mahkamah adat serta pengukuran tanah adat.

“Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dan buat kali pertama dalam sejarah RMK-12 yang akan dibentang pada tahun depan akan mengandungi satu bab khusus untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Usaha ini menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan komited dalam melaksanakan rancangan pembangunan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.