Polis tumpaskan sindiket Macau Scam didalangi warga China

125

22 DIS : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket Macau Scam dan penipuan pelaburan yang didalangi warga China di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Doraisamy semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah  berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi dan Bukit Aman menyerbu salah sebuah unit di kondominium tersebut.

“Dalam serbuan kira-kira jam 3.40 petang, polis menahan tiga lelaki warga China berusia antara 28 sehingga 34 tahun yang disyaki anggota sindiket yang menjalankan operasi penipuan tersebut.

“Hasil serbuan mendapat terdapat tiga orang lelak yang sedang berurusan dengan pelanggan di rumah tersebut dan hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 40 unit telefon bimbit, dua unit komputer, wang tunai berjumlah RM5,011 dan sejumlah wang tunai negara China,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainal, kesemua suspek direman selama empat hari bermula pada 22 hingga 25 Disember 2020 di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, pada hari yang sama pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi telah membuat dua serbuan berasingan di sebuah kediaman di Jalan Conlay di sini.

Dalam serbuan kedua itu yang dilakukan kira-kira jam 5.30 petang, seorang lelaki warga China berusia 35 tahun telah ditangkap dan hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek polis merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan lima buah komputer riba pelbagai jenama.

“Suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

“Susulan dari operasi tersebut, serbuan ketiga telah dijalankan pada jam 6 petang di mana seramai tujuh orang yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua orang wanita warga tempatan, dua wanita warga Thailand dan Vietnam,  berusia dalam lingkungan 21 hingga 33 tahun telah ditangkap.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik mereka polis turut merampas 112 keping daun terup, empat helaian kertas catitan perjudian, dua keping kad akses, seunit lampu mini disko, seunit pembesar suara, dan wang tunai RM23,200.00 disyaki hasil perjudian oleh suspek-suspek,” ujarnya.

Mohamad Zainal berkata, kesemua mereka direman dua hari sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Get real time updates directly on you device, subscribe now.