PKPD Amber Court, Apartment Ria sambung lagi

179

22 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court dan Apartment Ria di Jalan Genting, Bentong, Pahang yang bermula pada 10 Disember lalu akan dilanjutkan sehingga 6 Januari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Apartment Amber Court, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,183 ujian saringan, sebanyak 381 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan 85 masih menunggu keputusan.

“Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan 1,041 ujian saringan di Apartment Ria dan mengesahkan terdapat risiko jangkitan baharu yang dikesan di mana terdapat kontak rapat kepada kes positif yang perlu dijalankan ujian saringan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu PKPD di Rumah Kongsi Kampung Semaut di lokasi sama akan berakhir esok seperti yang dijadualkan.

“Manakala di Rumah Kongsi Kampung Semaut, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan saringan ke atas semua penduduk dan didapati hanya tiga orang bergejala dan ujian RTK Antigen yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bersetuju untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom (UK) ke kampus secara fizikal bagi sesi pembelajaran tahun 2021 yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.

Menurut beliau, kebenaran itu merangkumi pelajar lama dan pelajar yang telah diterima masuk oleh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta telah mempunyai penginapan tetap di Malaysia.

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi ujian calitan COVID-19 dan perintah kuarantin tertakluk kepada pengarahan sedia ada bagi semua pengembara dari luar negara.

Pelajar perlu melakukan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan selama 10 hari.

Kos ujian calitan COVID-19 dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan.

Selain itu, sidang khas MKN semalam turut bersetuju untuk membenarkan kemasukan pelajar bukan warganegara kecuali dari UK yang datang bersama pengiring untuk belajar di sekolah-sekolah antarabangsa dan swasta di Malaysia.

Kebenaran itu akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini dan hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang telah diluluskan permohonan dan telah mendapat visa dari Jabatan Imigresen Malaysia.

Mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan berhubung ujian saringan COVID-19 dan kuarantin wajib serta menanggung kos berkaitan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.