Muhyiddin lawat mangsa banjir di Rantau Panjang, Kemaman

125

22 DIS : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau situasi terkini mangsa banjir di dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang dan SK Bukit Mentok, Kemaman.

Dalam rangka tinjauan Muhyiddin, beliau mendapati pandemik Covid-19 ini telah menjadikan operasi mengendalikan mangsa banjir sedikit sukar ekoran terpaksa mengikut SOP yang ditetapkan.

“Saya sedar penugasan anggota di PPS menjadi lebih sukar kerana mereka tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Agensi Bencana Negara (NADMA) semasa mengendalikan mangsa banjir.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian saya segala SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan baik, apatah lagi kesemua petugas telah menjalani simulasi pengurusan mangsa banjir bagi memenuhi prosedur yang ditetapkan Kerajaan.

“Saya juga bertemu beberapa mangsa banjir di kedua-dua PPS itu untuk bertanya khabar dan menyerahkan sedikit sumbangan.

“Berdasarkan perbualan dengan mangsa-mangsa banjir yang sempat saya temui, mereka semua bersyukur dan berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan serta memuji langkah yang diambil pihak berkuasa dalam mencegah penularan COVID-19 di PPS berkenaan,” ujarnya menerusi satu kenyataan di facebook rasmi beliau.

Turut hadir mengiringi Muhyddin dalam lawatan tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, timbalannya, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan wakil-wakil daripada pasukan keselamatan serta agensi di bawah kerajaan negeri yang berkaitan.

Dalam lawatannya itu, Perdana Menteri turut diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah Pasir Mas, Nik Mohamed Nik Ishak berhubung situasi banjir di jajahan Pasir Mas, penempatan dan kemudahab yang disediakan kepada mangsa banjir.

Seramai 688 petugas daripada 39 jabatan kerajaan telah ditugaskan di 14 PPS di dalam Parlimen Rantau Panjang sejak gelombang pertama banjir melanda jajahan itu pada 4 Disember lepas.

Setakat ini terdapat 154 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS SK Gual Tinggi.                                                

Manakala dalam rangka lawatannya ke PPS SK Bukit Mentok, Kemaman, beliau telah diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar berkenaan usaha kerajaan negeri mengurangkan risiko banjir di daerah Kemaman.

“Tiga projek iaitu Projek Naik Taraf Sistem Perparitan dan Pembentungan di Teluk Kalong, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu yang akan melindungi bandar Cukai daripada limpahan air Sungai Kemaman.

“Ini termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Kemasik telah dicadangkan kerajaan negeri bagi mengelakkan limpahan Sungai Kemasik ke kawasan sekitar,” jelasnya.

Seramai 614 mangsa banjir melibatkan 149 keluarga ditempatkan di PPS SK Bukit Mentok.

Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil-wakil pasukan keselamatan serta agensi di bawah kerajaan negeri yang berkaitan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.