2.6 juta sesi kelas dari rumah dalam 14 hari

60

22 DIS: Lebih 2.6 juta sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PDPR) dilaksanakan oleh guru dan murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, sepanjang tempoh 17 hingga 30 November lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 64 peratus PDPR dilaksanakan secara dalam talian, 12 peratus di luar talian manakala 19 peratus adalah gabungan kedua-dua kaedah berkenaan.

“Menyentuh mengenai usaha Kementerian Pendidikan membantu murid tiada akses kepada PDPR secara atas talian menggunakan peranti sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakannya dengan kaedah menerusi serahan bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesusaian.

MUSLIMIN YAHYA
MUSLIMIN YAHYA

“Murid juga boleh menggunakan buku teks bercetak sebagai bahan rujukan, penyediaan nota, membuat rumusan atau melukis sesuatu konsep, manakala buku aktiviti juga boleh digunakan sebagai latihan ulang kaji apabila mereka mula menjalani PDPR.

“Guru mentaksir murid secara berterusan mengikut kesesuaian dan merancang untuk melaksanakan PDPR mengikut tahap keupayaan murid,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan juga mengambil inisiatif memperkenalkan semula TV Pendidikan mulai 6 April lalu bagi membantu murid yang tidak mendapat akses PDPR secara dalam talian internet atau tiada peranti bersesuaian.

Beliau berkata, rancangan TV Pendidikan berkenaan bermula dengan sesi pembalajaran selama dua jam sehari yang disiarkan menerusi saluran TV OKAY milik RTM, sebelum ditambah di Tutor TV Astro selama empat jam.

“Terkini KPM memulakan rancangan TV Pendidikan selama tiga jam menerusi saluran NTV7, mulai 23 November 2020, sekali gus menjadi tempoh siaran keseluruhan TV Pendidikan kini menjadi sembilan jam sehari,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga akan melaksanakan projek perintis untuk menyediakan peranti sesuai percuma kepada 150,000 murid merangkumi 500 sekolah di seluruh negara menerusi Belanjawan 2021 dengan kerjasama Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.