Tarif baharu elektrik pengguna domestik, industri

117

21 DIS: Kerajaan akan mengumumkan kadar tarif elektrik baharu untuk pengguna domestik dan industri bagi 2021 dalam masa terdekat.

Justeru, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tarif baharu elektrik untuk pengguna domestik dan industri berkenaan.

“Kita akan umumkan dalam minggu ini. Tunggu,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, di Putrajaya hari ini.

Pada Jun lalu, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dijangka mengumumkan tarif baharu bagi tempoh Januari-Jun 2021 pada penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Sebelum ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dipetik sebagai berkata kadar tarif elektrik pada 2021 dijangka turun berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar berkata, kerajaan memberi jaminan untuk tidak memotong bekalan elektrik bagi pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil kurang daripada enam bulan.

Menurut beliau, arahan itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan dan ia akan memberi faedah kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah.

Shamsul Anuar memberitahu, ini merupakan inisiatif prihatin oleh kerajaan dalam memahami keperluan membantu rakyat di saat suasana ekonomi yang mencabar berikutan impak berpanjangan pandemik COVID-19.

“Kerajaan, dengan kerjasama syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), bersetuju supaya tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan terhadap premis pengguna domestik yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, setakat 31 Oktober lalu, manfaat diskaun bil elektrik di bawah pakej PRIHATIN dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) telah dinikmati oleh 7.66 juta pengguna kategori domestik di Semenanjung Malaysia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.9 bilion.

“Pengguna mendapat potongan secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.