RM1.85 juta bantu usahawan wanita pelbagai kaum

140

21 DIS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.85 bilion menerusi Bank Rakyat dan Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita pelbagai kaum dari 2014 hingga 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junadi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan MEDAC bagi membantu pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya usahawan wanita di negara ini.

Beliau berkata, tindakan berkenaan perlu kerana berdasarkan bancian ekonomi, 20.6 peratus atau lebih 186,000 daripada 907,065 perusahaan kecil dan sederhana berdaftar di Malaysia adalah dimiliki oleh kaum wanita.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

“Sepanjang tahun 2014 hingga 2020 sebanyak RM1.85 bilion dana kewangan sudah disalurkan 176,356 usahawan wanita PKS menerusi pelbagai program bantuan dan pembiayaan oleh MEDAC menerusi agensi di bawahnya.

“Sebagai contoh Tekun Nasional dan Bank Rakyat mempunyai pecahan pembiayaan kepada usahawan wanita mengikut kaum. Bank Rakyat sudah meluluskan pembiayaan kepada 14,397 usahawan wanita dengan jumlah terkumpul kelulusan sebanyak RM225.22 juta, sejak 2014 hingga 2020.

“Mengikut kaum pula 13,911 usahawan Bumiputera sudah diberikan bantuan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM211.36 juta; 144 usahawan Cina dengan jumlah bantuan RM8.73 juta; 237 usahawan kaum India dengan jumlah pembiayaan RM3.414 juta dan 105 usahawan kaum lain,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, sebentar tadi.

Wan Junaidi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator P Waytha Moorthy yang meminta MEDAC menyatakan berapakah jumlah pecahan bantuan disalurkan oleh kementerian kepada usahawan wanita mengikut kaum sejak 2014 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, TEKUN pula menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.62 bilion kepada 161,522 usahawan wanita pelbagai kaum di seluruh negara, dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Beliau berkata, MEDAC juga sudah menganjurkan pelbagai program pada 2020 bagi meningkatkan pembabitan dan pembangunan golongan wanita dalam bidang keusahawanan.

“Malah, saya melantik Timbalan saya untuk menjadi Pengerusi satu jawatankuasa yang diberikan pengkhususan untuk membangunkan dan melahirkan lebih ramai usahawan dan koperasi wanita di negara ini.

“Langkah berkenaan perlu kerana ramai dalam kalangan usahawan dan koperasi ditubuhkan kaum wanita yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pendemik COVID-19 sekarang ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.