PKPD Pusat Koreksional Jasin, kuarters 22 Dis

98

21 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangannya mulai esok hingga 4 Januari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut melibatkan 771 orang yang terdiri daripada 603 tahanan dan 168 kakitangan serta keluarga mereka.

“Sehingga 19 Disember 2020, Kementerian Kesihatan telak melaksanakan 1,251 ujian saringan termasuk saringan kedua serta ketiga dan sebanyak 133 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan turut mengesahkan berlaku peningkatan secara mendadak jangkitan COVID-19 dalam masa yang singkat dalam kalangan tahanan di pusat ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 239 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 238 orang telah dikompaun dan seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (77), gagal menyediakan peralatan merekodkan butirna pelanggan (56), tidak memakai pelitup muka (53), aktiviti pusat hiburan (49) dan lain-lain (4),” jelasnya.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 25 pendatang tanpa izin dan merampas tiga buah kenderaan darat.

Sebanyak 114 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawasan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.