KPI ukur prestasi pelaksanaan Belanjawan 2021

103

21 DIS: Belanjawan 2021 perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin menggunakan kaedah petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan prestasi kerajaan dapat diukur dan tiada golongan yang memerlukan bantuan tercicir daripada perkara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri S Vell Paari berkata beliau turut mencadangkan agar setiap kementerian menerbitkan kad laporan pelaksanaan Belanjawan 2021 bagi setiap suku tahun hadapan yang laporannya harus diberikan kepada Dewan Negara untuk diteliti.

“Harus dibentangkan oleh kementerian dan dibahas di dalam Dewan Negara sekaligus memberi peluang kepada Ahli-Ahli Dewan Negara meminta penjelasan tentang prestasi kementerian dan status-status program yang dilaksanakan berdasarkan Bajet (Belanajwan 2021).

vell paari
S VELL PAARI

“Apa yang penting berapa jumlah wang telah dibelanjakan, ke mana wang tersebut digunakan dan bagaimana ia digunakan berdasarkan Bajet 2021. Ini akan memastikan Dewan Negara berfungsi dengan lebih aktif di mana Dewan Negara boleh menjadi mekanisma semak dan imbang bagi Bajet 2021.

“Diharapkan dapat dilaksanakan bagi memastikan segala bantuan dari kerajaan yang dibentang menerusi Belanjawan 2021 dapat sampai ke golongan sasar dan memerlukan dan apa yang penting adalah kelangsungan hidup rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Vell Paari berharap agar kerajaan turut mengambil kepentingan memperkasakan masyarakat India menerusi Belanjawan 2021 seperti kaum-kaum lain dalam menjamin kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

“Saya melihat tiada langkah-langkah khusus diambil kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk memperkasakan masyarakat India. Harapan saya perkara ini diambil kira oleh kerajaan pada masa hadapan. Saya cuma ingin mohon kerajaan memastikan bahawa masyarakat India diberi peluang yang sama seperti masyarakat lain di negara ini.

“Ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini yang konsisten dengan slogan kerajaan. Rakyat mempunyai harapan sangat tinggi lebih-lebih lagi ketika COVID-19 yang sangat mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka tidak mahu dengar berapa jumlah pelabur asing dan Keluaran Dalam Negara Kasar tapi apa yang mereka mahu adalah peluang pekerjaan, pendidikan serta peluang menjana pendapatan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.