KKM terima permohonan daftar vaksin Covid-19

154

12 DIS : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menerima permohonan mendaftarkan vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer.

Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM telah menerima permohonan syarikat farmaseutikal tersebut pada 15 Disember lalu.

“Bagaimanapun KKM memerlukan tempoh antara 90 hingga 120 hari untuk pakar kesihatan melihat segala dokumen membabitkan kajian vaksin berkenaan.

“Ada lima tahap yang perlu dilalui sebelum vaksin itu didaftarkan. Kita sedang melihat pendaftaran itu dan yang kita syaratkan ialah pendaftaran bersyarat,”ujarnya.

Tambah Hisham, KKM membuat penilaian dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk berdasarkan kepada produk yang dimajukan.

“NPRA sudah mengenal pasti 11 pakar perubatan dalam bidang berkaitan untuk meneliti dokumen yang diserahkan kepada kementerian,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Menurut beliau lagi,  keselamatan vaksin itu serta keberkesanannya akan diberikan keutamaan oleh KKM.
“Langkah kedua pula membabitkan pembekalan dan perolehan yang dijalankan bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi termasuk membabitkan logistik.

“Selain itu, kerjasama juga dijalankan dengan kementerian lain bagi memastikan segala urusan dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Fasa ketiga ujarnya lagi ialah keutamaan pemberian vaksin berkenaan kepada rakyat Malaysia, contohnya petugas kesihatan atau barisan hadapan dan golongan rentan.

“Yang keempat ialah pemantauan, sama ada ada kesan samping akibat penggunaan vaksin berkenaan manakala fasa kelima adalah untuk melihat keseluruhan sama ada ia mencapai sasaran ia melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai sumbangan vaksin yang dibangunkan syarikat di China secara percuma oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Noor Hisham berkata, pihaknya belum menerima sebarang dokumen atau laporan ujian klinikal fasa ketiga membabitkan vaksin berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan UAE berhasrat menyumbang 500,000 dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.