Keputusan kerajaan berdasarkan kepentingan rakyat

114

21 DIS: Apa juga keputusan yang akan diambil kerajaan dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 ini adalah tertumpu kepada soal keselamatan, kesihatan dan juga ekonomi rakyat, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustafa Mohamed.

Justeru, ada kemungkinan besar kerajaan terpaksa melaksanakan suntikan dana melalui cara pinjaman sekiranya pandemik Covid-19 ini terus menular sehingga memasuki gelombang ke empat di negara ini.

“Apa sekalipun tindakan diambil, keutamaan kerajaan ketika ini adalah terhadap soal keselamatan, kesihatan dan ekonomi rakyat serta negara. Sekiranya gelombang keempat berlaku, adalah wajar bagi kerajaan untuk meminjam demi mengekang situasi yang lebih buruk disebabkan impak COVID-19 ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam program Bicara BH yang disiarkan secara langsung melalui facebook hari ini.

Katanya lagi, situasi ketika ini sukar diramal bukan sahaja oleh Malaysia, tetapi negara lain di seluruh dunia.

“Keadaan pandemik yang berlaku ini dinamik seperti apa yang berlaku ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana kerajaan menjangkakan ia akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja.

“Tetapi sehingga hari ini, kes penularan COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, begitu juga ekonomi. Kita harapkan keadaan akan stabil dan kembali pulih,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan dalam beberapa laporan sebelum ini menyatakan defisit fiskal negara akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.

“Semua langkah kerajaan yang diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi negara yang membabitkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Ini antara strategi bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat, seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal,”ujarnya.

Jelas Mustapha, kerajaan juga akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.