Giat usaha jadikan Malaysia destinasi pelaburan dunia

46

21 DIS: Malaysia senada dengan China supaya tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk terus berfikiran sempit dan akan terus mengamalkan dasar yang menggalakkan pelaburan dunia ke negara ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, kerajaan akan terus membangunkan ekosistem yang boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan membolehkan perniagaan jadi berkembang maju di negara ini.

“Sememangnya pandangan vokal China bahawa kita tidak seharusnya menjadikan COVID-19 sebagai alasan untuk dasar mementingkan dalaman dan berfikiran sempit adalah amat senada dengan Malaysia.

“Berlandaskan kaedah dasar yang betul, langkah pencegahan disasarkan dan idea perkongsian awam-swasta baharu yang jarang berlaku, Malaysia boleh berjaya memerangi pandemik ini dan segera mengatasi kesan krisis ekonomi yang timbul.

“Sebagai negara membangun yang mempunyai hubungan global yang kukuh, Malaysia amat yakin terhadap perdagangan dan pelaburan yang bebas, saksama dan terbuka.

“Saya mahu memanfaatkan peluang ini untuk menawarkan jaminan sepenuh hati saya bahawa Malaysia telah, sedang dan akan sentiasa menjadi negara yang menyokong perniagaan, properdagangan dan propelaburan,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia secara maya hari ini.

Tambahnya lagi, amat penting untuk kerajaan di seluruh dunia kekal mendukung falsafah dan peraturan asas yang mentadbir urus perdagangan antarabangsa, seterusnya memberikan kepastian dan boleh jangka untuk perniagaan.

“Saya berpandangan bahawa dasar perlindungan dan unilateralisme mesti ditangani, membenarkan aliran barangan dan perkhidmatan rentas sempadan tanpa sekatan di samping memastikan gangguan terhadap rantaian bekalan serantau dan global adalah ditahap minimum.

“Sehubungan itu, kita perlu meneroka segala peluang dalam ruang ini, supaya dapat memberikan keupayaan kepada kita dengan pantas bagi menetapkan sistem yang membolehkan kita mencapai keseimbangan di antara keutamaan kesihatan dengan keperluan ekonomi,” ujarnya.

Muhyiddin seterusnya berkata, dalam usaha bersama ke arah keseimbangan, amat penting untuk kerajaan di seluruh dunia terus kekal mendukung falsafah dan peraturan asas yang mentadbir urus perdagangan antarabangsa, seterusnya memberikan kepastian dan boleh jangka untuk perniagaan.

Beliau turut berkongsi usaha kerajaan menerusi beberapa langkah dan pakej rangsangan ekonomi untuk mengekalkan operasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di Malaysia, selain demi kelangsungan usahawan baharu dalam menghadapi terhadap krisis COVID-19.

Katanya lagi, ini termasuklah pakej tambahan bernilai RM10 bilion dalam mengurangkan kesan COVID-19 ke atas PKS dan perusahaan mikro melalui pelbagai langkah khusus dan insentif meliputi program subsidi upah yang ditambah baik, bantuan kewangan melalui geran dan skim kredit mikro serta pengurangan cukai bersyarat.

“Sebagai tambahan, Belanjawan 2021 yang baru saja diumumkan juga telah memperuntukkan tambahan pembiayaan kredit mikro sebanyak RM1.2 bilion, yang akan disediakan melalui beberapa institusi kewangan yang telah dikenal pasti.

“Jumlah berkenaan merangkumi RM110 juta di bawah Kemudahan Perusahaan Mikro oleh Bank Negara Malaysia, yang bertujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan warga kerja gig dan mereka yang bekerja sendiri, ujarnya.

Tambah Muhyiddin, berlakunya pandemik COVID-19 yang tidak disangka-sangka itu juga telah menjadi pendorong bagi inovasi, digitalisasi dan penerimagunaan teknologi.

“Kita menyedari permintaan dalam e-pasaran semakin meningkat serta aktiviti dalam sistem e-perbankan, e-dompet dan perkhidmatan logistik lengkap turut rancak.

“Sesungguhnya, ini semua membuktikan perubahan besar dalam DNA perniagaan kita. Model teras dan format tradisional terus berkembang kukuh, dan kerajaan perlu bertindak balas terhadap perubahan ini dengan secukupnya, sewajarnya dan secara bijak,” jelasnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.