ESSCOM: Rakyat tempatan jadi tali barut penyeludup

59

21 DIS: Tindakan rakyat tempatan yang menjadi ‘tali barut’ kepada sindiket penyeludupan menyukarkan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengesan dan mengawal kegiatan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan di Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, antara cabaran lain dihadapi pihak berkuasa dalam mengawal penyeludupan PATI dan jenayah rentas sempadan di ESSCOM adalah kerana kedudukan geografinya yang terletak berhampiran dengan sempadan kepulauan di selatan Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata faktor berkenaan membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman keselamatan, jenayah merentas sempadan termasuk PATI, penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan sebagainya.

“Keluasan kawasan persisiran pantai Sabah yang bermula dari Kudat sehingga ke Tawau adalah sepanjang 2,344.6 kilometer adalah satu kawasan amat panjang.

“Kewujudan pulau di kawasan perairan Pantai Timur Sabah terlalu banyak iaitu sekitar 307 buah pulau turut membolehkan PATI dari Selatan Filipina dengan mudahnya dapat bersembunyi di pulau berkenaan terlebih dahulu mengelak daripada dikesan sebelum memasuki negara ini secara tidak sah.

“Oleh kerana terdapat pertalian persaudaraan antara penduduk Sabah dengan Filipina pergerakan keluar masuk sudah berlaku sejak sekian lama menjadi kebiasan atau amalan masyarakat setempat begitu juga Sabah dan Indonesia.

“Kewujudan ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat tempatan yang sentiasa memberikan maklumat mengenai kewujudan dan keberadaan aset laut pasukan keselamatan kepada tekong-tekong laut yang membawa PATI menyebabkan pergerakan masuk mereka ke perairan Sabah sukar dikawal dan dikesan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, sebentar tadi.

Hamzah menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Donald Peter Mojuntin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah cabaran utama ESSCOM dalam mengawal kemasukan PATI dari Filipina ke kawasan Pantai Timur Sabah.

Beliau menegaskan, biarpun terdapat banyak cabaran kerajaan akan terus komited untuk mengoptimumkan jaringan keselamatan di Pantai Timur Sabah dengan mempertingkatkan kemampuan pasukan keselamatan khususnya dari segi keupayaan keanggotaan dan perolehan peralatan serta kelengkapan canggih dan terkini.

“Kerajaan juga akan membeli pelbagai peralatan berteknologi tinggi dan canggih serta menambah bilangan anggota keselamatan bagi mengekang kegiatan PATI dan jenayah rentas sempadan di perairan Pantai Timur Sabah, pada masa depan.

“Kita juga akan melakukan penambahbaikan dan pembinaan kem terus dilaksanakan daripada semasa ke semasa. Pada masa sama teknologi pengawasan elektronik juga akan terus dipertingkatkan sejajar dengan kemampuan kewangan negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.