Dewan Negara mesti lulus Belanjawan 2021

99

21 DIS: Belanjawan 2021 adalah bajet ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia dan perbahasannya adalah sesuatu yang paling sengit dalam sejarah negara.

Justeru, Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramniam berharap semua Ahli Dewan Negara akan sebulat suara menyokong supaya Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat perbahasan Dewan Negara.

Beliau yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berkata, Belanjawan 2021 adalah bajet yang menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat sebagai golongan paling terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Kita melihat bagaimana perbelanjaan terbesar dalam sejarah belanjawan Malaysia iaitu melebih RM300 bilion yang juga catat sejarah baharu negara.

“Keadaan semasa wabak COVID-19 pastinya mewujudkan keresahan, apakah kita mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara dengan jumlah dana tersebut.

“Memikirkan bilakah bakal akhirnya pandemik COVID-19, sama-samalah kita mendoakan supaya wabak berkenaan berlaku dengan segera,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Berikutan itu, Balasubramniam mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu mengurangkan bebas kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19 di negara ini, sejak Mac lalu.

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan menyalurkan bantuan sekali bayar kepada petugas barisan hadapan serta bantuan musim tengkujuh kepada nelayan.

“Tindakan kerajaan membenarkan rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 dengan membenarkan mereka membuat pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memberi latihan semula kepada mereka dibuang kerja menunjukkan keprihatinan dan kerajaan mendengar luahan hati rakyat di luar sana,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.