Bot karam: PM hargai bantuan penduduk Kg Bantal

97

21 DIS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada penduduk Kampung Bantal yang membantu dan menyelamatkan tiga orang petugas Kementerian Kesihatan dalam kejadian bot karam tengah hari semalam.

Penghargaan dan ucapan terima kasih Muhyiddin itu disampaikan menerusi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, kepimpinan tertinggi dan semua warga Kementerian Kesihatan turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Bantal.

“Kementerian Kesihatan amat menghargai dan menyanjung tinggi tindakan berani tersebut. Segala kebaikan dan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Bantal ini harus disuburkan menjadi nilai-nilai murni dalam masyarakat Malaysia.

“Pengorbanan ketiga-tiga petugas Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam kejadian itu amatlah tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah mereka pada negara ini. Anda semua adalah wira-wira barisan hadapan negara,” kata Kementerian Kesihatan dalam laman Facebook malam tadi.

Detik cemas terjadi apabila tiga orang kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal di Taman Negara Jerantut Pahang nyaris lemas bila bot yang mereka naiki terbalik dan dibawa arus Sungai Tembeling.

Tindakan berani 20 penduduk Kampung Bantal berjaya menyelamatkan ketiga-tiga petugas Kementerian Kesihatan yang sedang perjalanan merawat pesakit di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling.

Kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari, di Jeti Klinik Kesihatan Kampung Bantal apabila paras air sungai naik melebihi paras amaran.

Bot dikatakan terbalik berpunca daripada masalah enjin sebelum tersangkut pada pokok di tebing sungai dan akibat kejadian itu, semua petugas Kementerian Kesihatan tersebut hanyut dibawa arus.

Sebaik sahaja menyedari kejadian itu, kira-kira 20 orang penduduk kampung bergegas menyelamatkan semua petugas Kementerian Kesihatan.

Tiga petugas Kementerian Kesihatan yang diselamatkan oleh penduduk kampung adalah seorang penolong pegawai perubatan, pekerja am klinik dan seorang tekong.

Penolong pegawai perubatan dan tekong bot sempat berpaut pada dahan pokok berhampiran lokasi kejadian manakala pekerja am terbabit berpaut pada bot dan dibawa arus sejauh 300 meter sebelum berjaya menyelamatkan diri dengan bergayut di dahan pokok berhampiran.

Semua petugas Kementerian Kesihatan yang memakai jaket keselamatan kemudiannya diselamatkan oleh penduduk Kampung Bantal yang datang membantu.

Bot Kementerian Kesihatan yang terbalik itu ditemui penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.