36 langkah cukai bantu perniagaan terjejas

65

21 DIS: Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif dalam bentuk pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengalami kesukaran untuk beroperasi susulan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata secara prinsipnya syarikat yang mengalami pengurangan pendapatan akan dikenakan cukai pendapatan lebih rendah.

Malah, beliau berkata, jika syarikat berkenaan merekodkan kerugian jumlah berkenaan boleh di bawa ke hadapan untuk ditolak di atas keuntungan pada masa depan.

“Secara keseluruhannya sebanyak 36 langkah cukai yang diberikan di bawah pakej rangsangan ekonomi tersebut bagi membantu industri, peniagaan dan individu dengan tujuan pertama meningkatkan aliran tunai, merancangkan pelaburan dalam negara, menarik pelaburan asing dan menyokong kepada adaptasi norma baharu.

“Misalnya bagi membantu meningkatkan aliran tunai perniagaan kerajaan menyedian insentif dan langkah cukai seperti penangguhan ansuran cukai pendapatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April hingga 30 Jun 2020.

“Kerajaan juga membenarkan penangguhan ansuran cukai pendapatan untuk tempoh enam bulan kepada peniagaan di bawah industri pelancongan dari 1 April hingga 30 September 2020, dan sudah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 di bawah Pakej PENJANA.

“Ketiga kerajaan juga memberikan rebat cukai pendapatan sebanyak RM20,000 untuk tempoh tiga tahun diberikan kepada PKS yang beroperasi mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2021,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Rahim menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T Mohan yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah sebarang insentif dalam bentuk pengecualian cukai diberi terhadap syarikat-syarikat swasta yang mengalami kesukaran untuk terus beroperasidalam musim pandemik COVID-19 sekarang.

Beliau menambah, kesemua langkah berkenaan diambil kerajaan bagi memastikan syarikat dan peniagaan terus beroperasi, berdaya tahan, berdaya saing dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.