108 pegawai perubatan kontrak Sarawak dilantik tetap

107

21 DIS: Seramai 108 pegawai perubatan kontrak anak kelahiran Sarawak telah ditawarkan jawatan tetap oleh Kementerian Kesihatan melalui proses pemilihan yang dilaksanakan secara adil dan saksama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada 85 pegawai pergigian kontrak, 50 orang daripada mereka yang merupakan anak kelahiran Sarawak juga telah dilantik ke jawatan tetap.

“Lantikan tetap tertakluk bagi memenuhi syarat pelantikan tetap dan kekosongan jawatan. Proses penilaian jawatan bagi pelantikan tetap dibuat sepanjang tempoh latihan siswazah bagi pegawai perubatan atau khidmat wajib bagi pegawai pergigian. Pegawai dinilai oleh pakar yang membimbing pegawai dalam tempoh latihan siswazah.

“Segala khidmat wajib, semua pencapaian akan dikumpul dan disaring oleh program dan dinilai oleh Jawantakuasa pelantikan tetap di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan pemilihan dilaksanakn telus dan adil. Cadangan pelantikan tetap yang telah dimuktamadkan akan diangkat kepada Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha KKM.

“Untuk mendapatkan persetujuan sebelum diperakukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku pihak berkuasa yang melantik,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew tentang kriteria bagi menawarkan jawatan tetap kepada pegawai perubatan (MO) dan pegawai pergigian kontrak, bilangan MO dan pegawai pergigian berkontrak yang berasal dari Sarawak dan berkhidmat di Sarawak yang telah memohon jawatan tetap bagi tempoh 2015 hingga 2019 serta peratusan yang berjaya mendapat jawatan tetap.

Dalam pada itu, menjawab soalan Robert mengenai perancangan KKM bagi memastikan setiap klinik di luar bandar Sarawak mempunyai pegawai perubatan, Dr Adham berkata beberapa hospital utama dan klinik kesihatan akan dipenuhi dengan cara ratio antara negeri-negeri dan jumlah perjawatan setiap jawatan dipertimbangkan.

“Untuk Kuching ada siapkan satu nisbah, satu pakar perubatan kepada 2,200 penduduk, Sibu pula satu pakar perbuatan kepada 3,500 penduduk, Miri satu pakar kepada 4,000 penduduk dan Bintulu satu pakar kepada 4,700 penduduk.

“Kita juga meletakkan pegawai perubatan masyarakat di beberapa tempat dalam Sarawak dan ketika ini ada 33 pegawai telah diletakkan di semua klinik di negeri Sarawak,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.