Majlis Presiden PN bukti keterbukaan Muhyiddin

124

20 DIS: Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan keterbukaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara berbanding kepentingan kepartian.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui Majlis Presiden Kerajaan PN, semua pihak dapat menyumbang idea khususnya bagi memperkukuh ekonomi negara dan menangani penularan COVID-19.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, usaha menerusi kerjasama antara semua parti dalam kerajaan PN akan diteruskan demi memperkukuhkan lagi perpaduan sedia ada.

“Pandangan dan idea baharu amat diperlukan kerana Belanjawan 2021 yang dibentang dan diluluskan bukan untuk kerajaan, sebaliknya untuk rakyat.

“Baru-baru ini juga telah diadakan mesyuarat pertama (Majlis Presiden Kerajaan PN) dan ia disambut baik oleh ketua parti kerajaan PN,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kemasyarakatan Parlimen Gombak di Dewan Persatuan Penduduk AU5D Lembah Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi.

Khamis lalu, parti-parti dalam kerajaan PN sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN yang akan dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam perikatan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.