Kit Siang terkejut Saifuddin kata Anwar ada sokongan

1,038

20 DIS: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang masih yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Saifuddin sepatutnya bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan bukannya untuk hanya sebuah parti politik.

“Semasa saya berjumpa dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lepas, saya telah memberikan jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran Ketua Pembangkang.

“Tetapi, kumpulan Pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah yang baharu yang berfokuskan kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dalam negara kita dengan sebuah konsensus kebangsaan yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blog beliau, hari ini.

anwar ibrahim
DAPSY Sarawak menggesa Anwar meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Semalam, Saifuddin berkata, Anwar telah diberi mandat untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan dan Presiden PKR itu tidak seharusnya dipersalahkan.

Pada 17 Disember lalu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama yang secara tidak langsung mempersoalkan strategi yang digunakan Anwar untuk menolak Belanjawan 2021 serta menaikkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Mohamad dan Guan Eng juga seolah-olah mempertikaikan dakwaan Anwar sebelum ini kononnya beliau mempunyai sokongan yang kukuh lagi meyakinkan.

Mereka berpandangan, PH dan sekutunya dalam kerangka PH Plus terpaksa berpuas hati dengan sokongan 108 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang ketika ini.

Sehubungan itu, Mohamad dan Guan Eng menggesa agar PH menumpukan kerjasama dalam kalangan sekutu sahaja dan menghentikan usaha mencuri sokongan pihak lain.

Difahamkan, kenyataan tersebut telah menyebabkan puak tertentu dalam PH berasa kurang senang dan mungkin menjadi salah satu punca mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan berlangsung di bangunan Parlimen pada petang hari yang sama dibatalkan.

Kegagalan Anwar itu turut mendorong Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Phoong Jin Zhe mendesak agar Anwar meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Serangan pemimpin DAP itu dibalas pula oleh Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang menyifatkan percubaan menggantikan Anwar sebagai ‘tindakan yang tidak ramah’. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.