Kematian arwah Adib tetap dibela – Takiyuddin

341

20 DIS: Tindakan sewajarnya akan diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi keadilan untuk keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia semasa bertugas ketika berlaku rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan berada di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

“Satu inkues telah dibuat di mahkamah, kemudian koroner atau hakim yang mendengar inkues membuat verdict (keputusan) bahawa punca kematian adalah kerana tindakan jenayah oleh dua orang atau lebih, yang tidak diketahui.”

takiyuddin hassan
TAKIYUDDIN HASSAN

“Itu verdict oleh koroner, jadi menyebabkan pendakwa raya apabila hendak mendakwa seseorang, perlu mengenal pasti pembuat jenayah itu, jadi oleh kerana verdict itu mengatakan orang yang tidak diketahui maka menyebabkan tindakan pendakwaan tidak dapat dibuat.

“Saya difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara meminta pihak polis membuat siasatan lanjut dan saya difahamkan pihak polis turut mencadangkan diadakan inkues baharu, tapi setakat ini tiada lagi inkues baharu,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di Baling, hari ini.

Takiyuddin berkata demikian bagi mengulas kekecewaan keluarga Muhammad Adib yang mencadangkan mengadakan semula inkues kematian anggota bomba itu kerana sudah terlalu lama bersabar menunggu pembelaan terhadap arwah.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.