3 kluster baharu COVID-19 sekitar KL, Sabah, Johor

119

20 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan tiga lagi kluster baharu COVID-19 yang dikenal pasti di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Metropolis membabitkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kluster tempat kerja ini dikesan pada 14 Disember lalu hasil saringan di tempat kerja. Sehingga hari ini, seramai 481 individu disaring, 147 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Estate Maju yang turut melibatkan kluster tempat kerja di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran, Sabah.

“Ia dikesan pada 8 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.Sehingga 20 Disember 2020, sejumlah 63 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu kluster terbaharu yang terakhir dikenali sebagai Kluster Batu 39 yang melibatkan tempat kerja di daerah Pontian di Johor.

“Kluster ini dikesan pada 18 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga 20 Disember 2020, sejumlah 152 individu telah disaring, di mana 28 kes
telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiga kluster iaitu Kluster Saga, Kluster Tatahan dan Kluster Sakti di Sabah telah ditamatkan bermula hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (140 kes), Kluster Ceram (107 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.