20 tahun dipenjara walaupun tidak bersalah

174

20 DIS: Seorang lelaki terpaksa meringkuk selama 20 tahun dalam penjara atas tuduhan rogol dan bunuh yang tidak pernah dilakukannya.

Yoon Seong-yeo, 53, dibuktikan tidak bersalah selepas seorang pembunuh bersiri yang terkenal di Korea Selatan mengaku merogol dan membunuh gadis berusia 13 tahun pada 1988.

Dia yang dihukum penjara seumur hidup dibebaskan dengan parol pada 2009 selepas menjalani hukuman penjara.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Daerah Suwon, Park Jeong-je meminta maaf kepada Seong-yeo bagi pihak badan kehakiman kerana menyebabkan penderitaan fizikal yang mental yang sangat besar ekoran membuat keputusan yang salah dalam kes itu.

“Saya harap tiada sesiapa yang perlu melalui apa yang saya lalui dan semua kes menerima perbicaraan yang adil,” kata Seong-yeo kepada pemberita selepas keputusan tersebut.

Seong-yeo, yang ketika itu berusia 22 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah rumah ladang di Hwaseong, ditahan pada Julai 1989 selepas polis menuduhnya merogol dan membunuh seorang gadis pada September 1988.

Sepanjang tempoh 1986 dan 1991, seramai 10 wanita pelbagai peringkat usia dirogol serta dibunuh dengan kejam di kawasan Hwaseong dan dia ditahan selepas polis dikritik hebat kerana gagal mengenal pasti pembunuh bersiri itu.

Polis membuat kesimpulan Seong-yeo meniru siri jenayah yang berlaku walaupun dia menafikannya dan menyatakan bahawa penyiasat polis memaksanya untuk mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 1989, yang kemudian disahkan Mahkamah Agung pada Mei 1990.

Ketika siri kes pembunuhan Hwaseong dilihat tidak berkesudahan, tahun lalu pihak polis mengumumkan ada suspek lain yang membuat pengakuan.

Lee Chun-jae, seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kakak iparnya pada 1994, mengaku melakukan pembunuhan termasuk gadis berusia 13 tahun itu, mendorong Seong-yeo memfailkan perbicaraan semula.

Chun-jae turut memberi keterangan pada perbicaraan semula Seong-yeo bulan lalu dan mengulangi pengakuannya.

Pembunuhan di Hwaseong juga ilham kepada penerbitan filem ‘Memories of Murder’ pada 2003 dan mencipta kejayaan bagi pengarah, Bong Joon Ho, yang memenangi filem terbaik Anugerah Akademi pada tahun ini bagi filem ‘Parasite’.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.