Satu penghormatan buat keluarga Tun Razak

165

19 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganugerahan Pengebumian Negara merupakan satu penghormatan dan kenangan manis bagi keluarga Allahyarham Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein. 

Justeru, Najib dan keluarga mengucap terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan penganugerahan itu kepada Allayarhamah bondanya, Tun Rahah Mohamed Noah yang selamat disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan Masjid Negara, petang tadi.

Ketika ditanya pemberita, bagaimana sikap Allahyarhamah Tun Rahah, kata Najib, bondanya sentiasa memberi sokongan kepadanya dan percaya suatu hari nanti kebenaran akan tersingkap dengan sendiri, berhubung segala kontroversi yang dilaluinya ketika menjadi Perdana Menteri.

“Bonda memang sentiasa mengingatkan saya supaya menjalankan kerja sebaik mungkin dan penuh amanah, walaupun dalam politik tidak boleh lari dari kecaman dan kontroversi.

“Banyak memori indah dan manis bersama bonda terutamanya apabila saya mula mahu menceburkan diri dalam politik pada usia kurang 23 tahun. 

“Bonda tetap memberi sokongan dan dalam apa juga keputusan saya, bonda akan sokong serta sedia memberi segala bantuan moral kepada saya, kasih sayang untuk saya berjaya dalam dunia politik,” ujarnya berkata kepada pemberita selepas selesai upacara pengebumian Tun Rahah Mohamad Noah.

Turut berkenan mencemar duli untuk menyaksikan Istiadat Pengebumian Negara dan menyiram air mawar di makam Tun Rahah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 2 petang disambut isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, sebelum diiring ke bilik menunggu sementara menanti ketibaan jenazah.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tiba di masjid berkenaan pada jam 2.10 petang.

Turut kelihatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Hadir sama beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

Get real time updates directly on you device, subscribe now.