Lima Kluster Baharu di Selangor, Sabah dan Kelantan

149

19 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat lima lagi  kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini melibatkan negeri Selangor, Sabah, Johor dan Kelantan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, lima kluster itu ialah kluster tapak kerja dan dikenal pasti sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah, Kluster Keris Residence, Kluster Jalan Timah, Kluster Brumas dan Kluster Long Panji.

“Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah melibatkan daerah Petaling di negeri Selangor bermula pada 14 Disember 2020 melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan. Sehingga 19 Disember 2020, sejumlah 450 individu telah disaring, di mana 49 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Keris Residence pula melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah. Dan sehingga 19 Disember 2020, sejumlah 65 individu telah disaring, di mana 41 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Jalan Timah ini melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor dan sehingga 19 Disember 2020, sejumlah 238 individu telah disaring, di mana 26 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Manakala Kluster Brumas pula menurut beliau melibatkan daerah Kalabakan di negeri Sabah dan sehingga 19 Disember 2020, sejumlah 89 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster terakhir yang dikesan iaitu Kluster Long Panji ini melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di negeri Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-86605) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 15 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 19 Disember 2020, sejumlah 202 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.