Gerakan sokong pelaksanaan semula GST

99

19 DIS : Parti Gerakan menyokong pelaksanaan semula sistem percukaian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem tersebut mampu mengelakkan cukai berganda, lebih mudah, telus dan cekap, kata Presidennya, Dominic Lau.

Bagaimanapun menurut Dominic, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan semula GST, sistem tersebut mestilah ditambah baik dalam beberapa perkara.

“Antaranya ialah mengurangkan kadar GST daripada 6 peratus kepada 3 peratus sahaja. Pengurangan tersebut mampu meningkatkan pelaburan, pekerjaan dan pendapatan boleh guna yang tinggi untuk rakyat.

“Tidak dapat dinafikan, GST merupakan sistem cukai yang lebih mudah, telus dan lebih cekap, akan dapat meningkatkan hasil dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan dalam cukai tersebut supaya kelewatan pengembalian wang diminimumkan, terutamanya bagi pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar.

“Secara dasarnya Gerakan menyokong melaksanakan semula GST dengan syarat menghapuskan SST dan cukai-cukai lain seperti cukai perkhidmatan digital, cukai soda and cukai pelepasan udara untuk meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.