Rasa sedih sama seperti waktu kehilangan bonda

204

18 DIS: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin meluahkan rasa sedihnya dengan pemergian ibu saudaranya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah petang tadi.

Menurut Hisham, rasa sedihnya berikutan pemergian Tun Rahah adalah sama seperti apa yang dirasanya ketika pemergian bondanya, Tun Suhaila Mohamed Noah enam tahun lalu.

“Saya kerap ziarah beliau dalam beberapa bulan ini termasuklah yang terbaru semalam. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya apabila dimaklumkan beliau telah pergi buat selama-lamanya.

“Apa yang saya rasai ketika ini sama seperti ketika Allahyarhamah Bonda saya menghembuskan nafas terakhir 6 tahun lalu,” ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasmi beliau.

Hishammuddin juga turut melahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan sepupu kepadanya.

Menurut Hishamuddin lagi, Allahyarhamah Tun Rahah merupakan ibu saudaranya yang paling rapat dengannya.

“Banyak masa saya membesar di bawah penjagaan beliau. Insan ini amat penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.

“Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak (bekas suami Allahyarhamah) meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun. Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Allahyarhamah Tun Rahah merupakan seorang individu yang sering mengingatkan wanita agar melibat diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan dan aktiviti.

Tambah beliau, ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah banyak memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara.

“Beliau juga banyak menyumbang jasa dan bakti kepada pembangunan negara.Pemergian Tun Rahah ini turut dirasai oleh kita semua rakyat Malaysia.

“Takziah buat Datuk Seri Najib Razak dan seluruh ahli keluarga susulan pemergian ibunya, Tun Rahah Mohd Noah yang telah meninggal dunia sebentar tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Terdahulu, Tun Rahah, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Najib dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook miliknya mengesahkan berita pemergian ibunya yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.